Artikel Asli: http://ipanrock.blogspot.com/2011/03/cara-membuat-judul-blog-bergerak.html#ixzz1IezVg4BJ

My Followers

Wednesday, June 24, 2009

HIDUP SEMENTARA, MATI TIBA-TIBA

“Salam, maaf mengganggu. Dimaklumkan kakak kepada xxxxxxx telah meninggal pagi tadi. Dia dijumpai mati di tempat letak kereta xxxxxxx. Doakan semoga pembunuhnya dapat dicari dan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. Al-Fatihah buat beliau… Wassalam.”

Ketika saya sedang asyik membaca artikel tentang Gagasan Satu Malaysia malam tadi, tiba-tiba saya menerima satu mesej daripada seorang sahabat mengatakan kakak kepada kawannya telah kembali ke Rahmatullah. Berdasarkan mesej tersebut, saya dapat simpulkan bahawa punca kematian tersebut adalah disebabkan pembunuhan. Persoalannya di sini, mengapa kejadian seumpama ini masih lagi berlaku sedangkan negara kita diklasifikasikan sebagai sebuah negara yang aman? Adakah si pembunuh telah menemui jalan buntu dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah adalah dengan cara sedemikian? Saya dapat member jaminan 100% bahawa hati dan perasaan pembunuh tersebut kini sedang dilanda kegusaran dan tidak akan tenang selagi dia tidak menyesal dan mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukannya. Sedangkan Botak Chin yang merupakan penjenayah ‘hebat’ dan ‘kebal’ suatu ketika dulu pun longlai dan lemah tidak bermaya serta terpaksa diseret oleh pegawai penjara untuk ke tali gantung. Inikan pula kita sebagai ‘orang biasa’ yang melakukan kesalahan besar sebegitu. Sudah tentu tahap kegusaran dan ketakutan kita melepasai tahap yang dicapai oleh ‘orang kebal’ tersebut.

15. Kemudian, sesudah itu, Sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. (al-mu’minuun :23:15)

Berbalik kepada tajuk yang saya bawa pada kali ini, iaitu ‘hidup sementara, mati tiba-tiba’, sebenarnya saya ingin kaitkan dengan mesej yang saya terima tersebut. Sejauh mana amal kebaikan yang telah kita taburkan di atas muka bumi selama kita hidup di dunia ini? Bagi diri saya yang masih terombang-ambing dalam usaha mencari erti sebuah kehidupan yang sebenar ini, saya dapat merasakan diri ini masih lagi kosong dengan amal-amal kebaikan. Jadi, adakah kita telah bersedia dengan segala kelengkapan untuk menemuai-Nya kelak? Memanglah kebanyakan orang termasuklah saya sendiri apabila ditanya soal mati, jawapan yang dilontarkan kebanyakannya berbunyi, “tunggulah, aku masih muda, masih banyak masa untuk aku melakukan kebaikan”, serta banyak lagi jawapan-jawapan lain yang tidak sepatutnya kita berikan. Saya sendiri sering terfikir bahawa hidup serta kesenangan yang dikecapi kini hanyalah bersifat sementara belaka dan kematian itu akan tiba bila-bila masa tanpa diketahui oleh sesiapa. Apabila ajal tiba, segala harta benda, kesenangan di dunia dan sebagainya sudah tidak bererti lagi. Tiga bekalan yang akan dibawa ‘ke sana’hanyalah amal kebaikan, anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kita di sana, serta sedekah jariah. Jadi, konsep serta amalan ‘tunggulah’ atau melengah-lengahkan perbuatan baik perlulah dijauhi walaupun saya sendiri sering mengamalkannya. Jadi selepas ini setidak-tidaknya di dalam hati kita terdetik sebutir keinsafan yang lahir dari hati yang ikhlas untuk berubah dari semasa ke semasa. Mungkin dengan cara bermuhasabah diri dan sentiasa berfikiran jauh ke hadapan, hati dan diri kita akan terarah serta terdidik untuk melakukan kebaikan sebagai secebis bekalan untuk bertemu dengan-Nya kelak. Ameen..

Sama-samalah kita berfikir dan merenung jauh ke hadapan serta ‘selamat beramal’.. :-)
Read More...

Tuesday, June 23, 2009

SELAMAT HARI BAPA


Beberapa hari lepas, media massa terutamanya media elektronik telah mewar-warkan tentang sambutan Hari Bapa. Walaupun diwujudkan ‘hari bapa’, hari ibu’ dan sebagainya, tetapi tanggungjawab kita sebagai seorang anak haruslah mengingati mereka setiap masa dan di mana jua kita berada. Pengorbanan seorang bapa sangat besar walaupun kita tahu pengorbanan seorang ibu bertarung nyawa untuk melahirkan seorang zuriat di muka bumi ini tidak dapat ditandingi sesiapa.

Seorang bapa telah berkorban wang ringgit, masa dan tenaga demi mendidik anak-anak sehingga berjaya. Mereka tidak mahu kesusahan yang mereka tanggung selama ini diwarisi oleh pewaris-pewaris kesayangan mereka. Walaupun kita sedar pengorbanan mereka sangat besar terhadap diri kita, tetapi mengapa kita selalu mengenepikan mereka? “mengenepikan” yang saya maksudkan di sini adalah meninggikan suara, tidak menghargai usaha-usaha mereka, dan sebagainya. Saya tidak menuding jari kepada sesiapa, tetapi tujuan saya menulis entri ini adalah sebagai salah satu cara saya menginsafi diri dan menasihati diri saya sendiri. Sebagai seorang insan biasa, kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan samada secara sengaja mahupun tidak sengaja.

23. Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia[850]. (Al-Israa’ 17:23)

[850] mengucapkan kata ah kepada orang tua tidak dlbolehkan oleh agama apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Walaupun kita sering diperdengarkan dengan ayat-ayat al-Quran melalui ceramah-ceramah agama, nasyid dan sebagainya tentang martabat kedua ibu bapa yang harus dihormati dan disanjung, tetapi kita sering alpa akan amanah tersebut sebagai seorang anak. Jadi, di manakah salah dan silapnya? Adakah salah seorang ibu yang telah bertarung nyawa melahirkan kita? Adakah salah seorang bapa yang bekerja tanpa mengenal erti penat lelah demi mencari sesuap nasi membesarkan anak-anak? Jadi, marilah sama-sama kita merenung sejenak dan berfikir, apakah sumbangan yang telah kita berikan kepada mereka sejak kanak-kanak hingga kini? Adakah pengorbanan kita kepada mereka standing dengan pengorbanan mereka yang telah mengasuh dan mendidik kita sejak kecil?? Marilah sama-sama kita renungkan dan berusaha melakukan apa sahaja yang terbaik demi kedua ibu bapa tercinta.. Wallahu’alam..

Read More...

Friday, June 19, 2009

TAUBAT SEORANG HAMBA


Setiap manusia yang dicipta di dunia ini tidak terlepas daripada melakukan dosa, samada dosa-dosa kecil mahupun dosa-dosa besar. Samada yang disedari ataupun tidak. Walaupun diri ini terasa amat kerdil di sisi-Nya, namun kita seringkali alpa dan secara tidak langsung kita telahpun melakukan dosa kepada-Nya. Walaupun kadang-kadang kita telah menyesal dengan apa yang telah dilakukan, tetapi kita seringkali mengulangi kesilapan yang sama. Di manakah silapnya? Mungkin penyesalan kita tidak standing lagi dengan kesilapan yang telah kita lakukan. Mungkin juga penyesalan kita hanya sekadar di bibir semata-mata dan bukannya lahir dari hati sanubari kita.


Renteten dengan itu, saya seringkali mendengar lagu “Taubat Seorang Hamba”. Lagu ini sangat menyentuh hati dan saya berasa ‘terkesan’ tatkala mendengar lagu ini. Walaupun kita merasakan kita telah berada pada tahap yang agak selesa kerana dengan izin-Nya kita dapat pendidikan yang sempurna dan keluarga yang bahagia serta diiringi dengan sahabat-sahabat yang sentiasa bersama, tetapi pada hakikatnya terdapat banyak lagi kelemahan-kelemahan yang wujud dalam diri kita. Samada kita sedar atau tidak, terpulanglah pada diri kita untuk mentafsirkannya. Semoga kita sentiasa mengakui segala kelemahan diri, dan menginsafi segala kekurangan pada diri kita, serta menyesali kejahilan kita selama ini. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita sejak kecil hingga kini. insyaAllah..

Hati hiba mengenangkan
Dosa-dosa yang kulakukan
Oh Tuhan Maha kuasa
Terima taubat hamba berdosa

c/o Ku akui kelemahan diri
Ku insafi kekurangan ini
Ku kesali kejahilan ini
Terimalah… terimalah… terimalah…
Taubatku ini

Telah aku merasakan
Derita jiwa dan perasaan
Kerna hilang dari jalan
Menuju reda-Mu Ya Tuhan

Di hamparan ini ku meminta
Moga taubat ku diterima…


Read More...

Thursday, June 18, 2009

PEJAM CELIK, PEJAM CELIK…

Semalam merupakan kelas terakhir saya pada semester ini. Sedar tidak sedar sudah hampir dua bulan saya menjadi warga UIAM Gombak. Kepada semua rakan-rakan terutamanya rakan sekelas Bahasa Melayu Lanjutan Seksyen 2, selamat menempuh peperiksaan akhir saya ucapkan pada 26 Jun akan datang. Walaupun saya tidak sempat berkenalan rapat dengan beberapa sahabat baru seperti Haris, Syahmi, dan juga Muse serta yang lain-lain, tetapi diharapkan persahabatan kita semua tidak terhenti di sini sahaja. Perjuangan kita di UIA ini masih lagi di peringkat permulaan dan banyak lagi cabaran-cabaran yang bakal ditempuh pada masa akan datang.

Di antara sahabat-sahabat baru di dalam kelas tersebut, hanya Muse yang agak rapat dengan saya. Hal ini mungkin kerana kami merupakan rakan sekumpulan semasa menyiapkan kertas kerja dan sesi pembentangan yang lepas. Selepas sahaja habis kelas semalam, saya, Muse, Fahmi dan Rahimi sempat makan bersama-sama di Café KAED. Itu merupakan kali pertama dan mungkin kali terakhir untuk semester ini kami makan bersama-sama Muse. Disebabkan dia merupakan pelajar jurusan bahasa Arab dan itulah kali pertama dia ‘menziarahi’ KEAD, jadi kami membawanya melihat sekitar KAED dan kami sempat melawat senior-senior menyiapkan projek mereka di office KAED.

Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali, jadi sama-samalah kita menggunakan masa yang ada ini dengan sebaik mungkin. Ada beberapa orang sahabat berkata kepada saya, “engkau tak rasa rugi ke ambil satu subjek sahaja sem ni??”. Bagi saya setiap yang berlaku mungkin ada hikmah di sebaliknya. Kalau saya ambil dua tiga subjek sekalipun, mungkin saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada semua subjek tersebut kerana masih di peringkat menyesuaikan diri di kampus baru ini. Ada juga yang berkata, “kalau setakat ambik satu subjek je, baik tak payah ambik short sem la.. membazir duit je bayar mahal-mahal..”. Mungkin mereka betul, tapi pengalaman yang saya peroleh semasa short sem ini tidak dapat dibayar dan diganti dengan wang ringgit. Seperti kata ‘orang lama’, “duit boleh dicari, tetapi pengalaman berharga tidak boleh dibeli melainkan kita sendiri yang merasainya”.

Tentang Waktu

Ambillah waktu untuk berfikir, kerana itu adalah sumber kekuatan.

Ambillah waktu untuk bermain, kerana itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.

Ambillah waktu untuk berdoa, kerana itu adalah sumber ketenangan.

Ambillah waktu untuk belajar, kerana itu adalah sumber kebijaksanaan.

Ambillah waktu untuk bersahabat, kerana itu adalah jalan menuju kebahagiaan.

Ambillah waktu untuk tertawa, kerana itu adalah muzik yang menggetarkan hati.

Ambillah waktu untuk memberi, kerana itu adalah membuat hidup terasa bererti.

Ambillah waktu untuk bekerja, kerana itu adalah nilai keberhasilan.

Ambillah waktu untuk beramal, kerana itu adalah kunci menuju syurga.


Read More...

Monday, June 15, 2009

PEMIMPIN DALAM ISLAM

Alhamdulillah pada hujung minggu baru-baru ini iaitu pada 12-14 Jun, saya berkesempatan mengikuti Tamrin Qiyadi Kebangsaan 2009 anjuran PKPIM, bertempat di Maahad as-Sofa, Rembau, Negeri Sembilan. Tamrin Qiyadi ini bolehlah didefinisikan sebagai Kem Kepemimpinan untuk membentuk pemimpin-pemimpin pada masa hadapan, InsyaAllah.

Sebahagian peserta-peserta dan Sekretariat-sekretariat PKPIM Pusat.

Pelbagai slot-slot menarik yang diselitkan dalam modul kem pada kali ini dan kebanyakannya diisi dengan slot-slot yang berbentuk ceramah yang boleh dikatakan menarik. Saya mengatakan menarik kerana kesemua ceramah disampaikan oleh penyampai-penyampai yang berwibawa seperti Sdr. Helmi Ramli (Presiden PKPIM), Tuan Hj. Yusri Mohamad (Presiden ABIM), Sdr. Mohd Raimi Abd. Rahim (Pen. SUA ABIM), Dr. Amran Mohamad (Pemangku SUA ABIM) dan penyampai yang tidak asing lagi iaitu Sdr. Sayed Munawar Jamlullail (Personaliti RTM 1) juga turut diundang.

Peserta-peserta bersama-sama tenaga penggerak Maahad as-Sofa sedang mengalunkan Qasidah. (kalau tak pandai tu, dengar pun ok je… memang mengasyikkan..)


Sepanjang kem tersebut berlangsung, banyak input-input berguna yang dapat diambil kerana sebagai seorang mahasiswa, secara tidak langsung kitalah yang bakal meneraju negara pada masa hadapan. Jadi, setiap individu khususnya yang bergelar seorang mahasiswa harus mempunyai sifat kepemimpinan dalam diri mereka. Hal ini kerana, walaupun kita tidak mampu untuk memimpin sesebuah negara atau organisasi-organisasi yang besar, tetapi mahu tidak mahu kita mesti akan menjadi pemimpin pada diri sendiri dan keluarga pada masa akan datang.


Amanat daripada Tuan Haji Yusri

Ceramah oleh Sdr. Mohd Raimi

Bual bicara semasa oleh Sdr. Sayed Munawar dan Dr. Amran


Satu perkara yang saya tertarik untuk dikongsi bersama ialah saya sempat berbual dengan Pak Cik Ayub (maaf jika tersilap nama) yang merupakan salah seorang penjaga di maahad tersebut. Saya tertarik dengan persoalan yang dilontarkan kepada saya iaitu “Bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya?”. Jawapan yang terlintas dalam benak fikiran saya pada ketika itu adalah seperti perlu bersikap jujur, berilmu dan macam-macam lagi yang merupakan jawapan common yang sering kita dengar. Tetapi jawapan yang diberi oleh pak cik itu ialah ‘pemimpin tersebut perlu disayangi oleh masyarakat’. Persoalannya yang timbul di sini ialah bagaimana ingin menjadi pemimpin yang disayangi oleh masyarakat?.

Sebenarnya salah satu cara untuk disayangi oleh orang lain adalah dengan cara kita terlebih dahulu yang perlu menyayangi orang lain. Tetapi kita jangan lupa bahawa untuk menyayangi orang lain, kita mestilah terlebih dahulu menyayangi Allah SWT melebihi daripada segala-galanya. Dengan cara tersebut, InsyaAllah, Allah SWT akan melembutkan dan membuka hati-hati kita untuk menyayangi orang lain. Secara tidak langsung, dengan kita terlebih dahulu menyayangi orang lain, maka akhirnya orang lain atau masyarakat juga akan menyayangi kita seterusnya manghormati dan menyanjung kita sebagai seorang pemimpin yang berbakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Kesimpulannya di sini, negara yang makmur dan maju lahir daripada pemimpin yang berwibawa, sepertimana yang disebut oleh Prof. Abdullah dan Pn. Ainon mengenai definisi kepimpinan:

“Mendapatkan orang-orang lain supaya mengikut, atau mendapatkan orang-orang lain supaya mahu melakukan tugas-tugas tanpa dipaksa”.

Jadi, untuk mancapai tujuan tersebut, kita haruslah menghormati dan menyayangi sesama manusia di samping meletakkan kecintaan terhadap Allah yang paling utama. Di samping itu juga kita harus ingat bahawa menjadi seorang pemimpin itu merupakan satu Taklif (amanah), dan bukannya Tasyrif (bangga), iaitu berbangga-bangga atau riak dengan kedudukan yang disandang. Sekian, wallahua’lam.

Read More...

Friday, June 12, 2009

PENGAJAR VS.PENDIDIK

Baru-baru ini saya berkesempatan membaca sebuah buku bertajuk ‘Pendidikan Rabbani – Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia’, yang ditulis oleh Prof. Dr. Sidek Baba, seorang Pensyarah di UIAM. Saya sempat membaca beberapa helai muka surat sahaja daripada keseluruhan buku ini dan diharapkan dengan input yang sedikit ini dapatlah saya berkongsi bersama rakan-rakan sekalian.

Sejak akhir-akhir ini, kebanyakan masyarakat dunia meletakkan keputusan yang diperoleh di dalam peperiksaan sebagai penentu atau kayu ukur kepada kejayaan atau kegagalan seseorang. Pelajar-pelajar lebih cenderung untuk mengejar sijil, diploma, atau ijazah semata-mata tanpa mempertimbang aspek-aspek lain. Aspek-aspek lain yang dimaksudkan di sini ialah akhlak atau sikap yang baik kurang dititikberatkan.

Merujuk kepada buku ini, pendidikan yang sebenar adalah pendidikan yang dikaitkan dengan Allah SWT, iaitu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan utama. Di samping itu, contoh akhlak atau ikutan terbaik pula ialah Rasulullah SAW, Para Sahabat serta Tabi’in. Walaupun setiap daripada kita mengetahui bahawa Nabi seorang yang maksum, dan tidak dapat mengikut 100% sunnahnya, tetapi cukuplah sekadar kita tidak terpesong dari jalan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Kita juga boleh kaitkan dengan konsep pengajaran dan pembelajaran serta institusi pemerintahan di negara kita sekarang, iaitu konsep guru dan pelajar / hamba dan khalifah / pemimpin dan pengikut. Kesemua konsep-konsep yang disebutkan ini perlu mempunyai akhlak yang terpuji dan menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai sumber rujukan utama.

Tidak dinafikan bahawa kebanyakan guru-guru kini lebih fokus kepada menjadi pengajar berbanding menjadi pendidik. Mengapa saya berkata begitu? Apakah perbezaan antara pengajar dan pendidik? Sebenarnya pengajar ini lebih tertumpu pengajaran di dalam kelas semata-mata, manakala peranan yang dimainkan oleh seorang pendidik ini lebih daripada itu. Pendidik lebih merujuk kepada mendidik seseorang supaya menjadi insan kamil dan membentuk peribadi yang mulia. Hal ini menunjukkan bahawa pendidik ini bukan sahaja membentuk insan yang berilmu pengetahuan tinggi, bahkan dapat melahirkan individu atau masyarakat yang bersahsiah tinggi.

Begitu juga dengan konsep pemimpin dan pengikut / hamba dan khalifah. Jika seseorang pemimpin meneraju sesebuah organisasi dengan tidak berlandaskan ciri-ciri Islamiah seperti yang disebutkan tadi, maka inilah yang dikatakan organisasi yang lemah walaupun dari segi luarannya menampakkan kehebatan dan kejayaan. Sebagai contoh, kita dapat lihat kini telah ramai golongan yang berkelulusan tinggi tetapi mereka mengamalkan rasuah dan pecah amanah. Mereka ini merupakan golongan yang berjaya tetapi tidak bersyukur kepada Allah dan telah lupa tentang halal dan haram.

Kesimpulannya, yang dapat saya simpulkan di sini berpandukan buku ‘Pendidikan Rabbani – Mengenal Allah Melalui Ilmu Dunia’ ialah dalam kehidupan kita sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada dua asas utama kehidupan, iaitu:

1. Akhlak
2. Pembangunan ketrampilan

Akhlak adalah seperti yang telah diterangkan, manakala pembangunan ketrampilan pula boleh dipecahkan kepada banyak cabang / bidang seperti saintifik, teknikal, vokasional dan sebagainya. Inilah yang dikenali atau disebut sebagai Pendidikan Rabbani, tetapi ramai manusia kini telah tersilap kerana meletakkan pembangunan ketrampilan sebagai tangga utama untuk dicapai, manakala akhlak diletakkan di tempat kedua. Jadi, akhir kata sama-samalah kita berfikir dan merenung sejenak samada ingin menjadi pengajar atau pendidik kepada diri kita sendiri demi kemajuan diri, agama, bangsa dan negara tercinta. Wallahu’alam.

Read More...

Wednesday, June 10, 2009

RUANG KERJAYA DALAM BAHASA MELAYU - Mandul Perlu Dibedah

Hari ini merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar-pelajar yang belajar Bahasa Melayu Lanjutan terutamanya kumpulan 1 dan 2, seksyen 2. Kumpulan saya (Bermula dari saat ini saya ingin menggunakan kata gandi diri ‘saya’ dalam penulisan blog ini) merupakan kumpulan kedua dalam sessi pembentangan hari ini. Alhamdulillah kerana kedua-dua kumpulan pada hari ini dapat membentangkan tajuk yang diberi dengan agak bagus. Semoga pengalaman hari ini dapat membaiki diri dan kemahiran pada masa akan datang.

Kumpulan 1 membincangkan tentang ‘bahasa Melayu dari sudut Islam’. Tajuk ini banyak memperkatakan tentang sejarah kedatangan Islam ke Melaka iaitu melalui Sheikh Abdul Aziz yang solat di Asar di tepi pantai dan disaksikan oleh ramai penduduk Melaka dan akhirnya mereka memeluk agama Islam. Hal ini sangat berkait rapat dengan cara Islam tersebar iaitu melalui alim ulama atau pendakwah, perkahwinan, dan juga melalui perdagangan. Kumpulan ini juga membentangkan tentang pengaruh bahasa Arab dalam bahasa Melayu, agama dan kepercayaan dan banyak lagi yang berkaitan tentang bahasa Melayu dari sudut Islam.

Selepas selesai kumpulan 1 membentangkan tajuk mereka, maka tibalah pula giliran kumpulan saya untuk membincangkan tajuk ‘Ruang kerjaya bahasa Melayu’. Kumpulan saya terdiri daripada lima orang ahli kumpulan iaitu saya sendiri, Radzi, Fahmi, Muse, dan Rahimi. Setelah kami semua mencapai kata sepakat, akhirnya kami semua setuju untuk mengulas tajuk ini dalam bentuk forum. Forum yang dijalankan ini telah dipengerusikan oleh Radzi dan yang lain-lain sebagai ahli panel.

Forum ini diberi tajuk: Ruang kerjaya bahasa Melayu – Mandul perlu dibedah. Perbincangan dalam forum ini adalah untuk mengulas samada ruang kerjaya dalam bahasa Melayu ini mandul atau tidak. Mandul di sini dapat disimpulkan sebagai sesuatu yang kaku dan lesu kerana dewasa kini ramai yang beranggapan bahawa ruang kerjaya dalam bahasa Melayu adalah sangat tipis dan tidak standing dengan kerjaya-kerjaya profesional yang lain seperti doktor, peguam, arkitek dan sebagainya.

Pusingan pertama forum ini dimulai dengan Fahmi yang membincangkan tentang tahap penerimaan golongan bahasa ini dalam bidang pendidikan samada di dalam dan juga di luar negara. Saya pula menjadi ahli panel yang kedua yang membincangkan tentang penyelidikan bahasa Melayu. Ahli panel yang ketiga iaitu Muse, dia telah memperkatakan tentang kerjaya bahasa dalam bidang penterjemahan. Akhir sekali, Rahimi pula lebih tertumpu kepada masalah-masalah atau sebab-sebab kurangnya penglibatan pelajar-pelajar atau graduan-graduan dalam bidang linguistik ini seperti sikap sesetengah pihak dan individu yang memandang rendah tentang kerjaya bahasa Melayu serta tidak diberi pendedahan awal tentang kerjaya bahasa Melayu ini. Read More...

Saturday, June 6, 2009

PMGK 2009


PMGK PKPIM DI UIAM..

Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK) merupakan salah satu program tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Pada kali ini program ini telah dilangsungkan di UIAM Gombak bermula pada Jumaat-Ahad (5-7jun 09). Selain PKPIM, program ini juga telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP) dan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan. Lebih daripada 100 orang peserta telah menyertai program ini iaitu kebanyakannya terdiri daripada pelajar2 lepasan SPM dan sebahagiannya terdiri daripada pelajar2 di Pusat Asasi UIAM.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan gambaran awal atau berkongsi suasana dan cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka ketika berada di manara gading kelak. Semua peserta ditempatkan di Mahallah (kolej kediaman) Maryam dan program perasmian telah diadakan di Experimental Hall UIAM.

Sebahagian peserta2 PMGK 2009 (Experimental Hall)

Sebagai ahli PKPIM UIAM, walaupun aku tidak menjadi ajk, fasi, dan sebagainya, namun dengan semangat yang membara (cewah2… hehee), aku bersama2 sahabat2ku yang terdiri daripada Muazan, Izwan dan juga Amin berjalan kaki pergi ke experimental hall tuu.. penat jugak la berjalan sebab sebelum ni tak tau di mana terletaknya tempat tu. Mujurlah jumpa juga akhirnya.. Alhamdulillah..

Acara perasmian dimulai dengan ucapan oleh pengerusi majlis, penyelaras program, Abang Jijan dan seterusnya dirasmikan oleh YB ADUN Batu Caves. Selesai sahaja acara perasmian, semua peserta diberikan jamuan ringan dan terus menaiki bas untuk ke MPH (Multi-purpose Hall) di Mahallah Maryam. Aku pun dengan selamber ikut je mereka semua pergi mahallah Maryam untuk tengok aktiviti seterusnya.

Para VIP yang Hadir

Pembahagian kumpulan di MPH Mahallah Maryam.

Di MPH, peserta2 dibahagikan kumpulan mengikut fasi masing2 dan aku berada di sana sehingga pukul 1 pagi. Setelah badan dah penat, aku pun mengambil keputusan untuk pulang ke bilik aku di Mahallah Ruqayyah. Sekian sahaja untuk kali ini.. wassalam..

Sebahagian fasilitator2 dan tenaga penggerak PMGK 2009
Read More...

Wednesday, June 3, 2009

Anak dan Ibu..

Beberapa minggu lepas, Hari Ibu disambut di seluruh Malaysia, barangkali ianya juga disambut oleh seluruh pelusuk dunia. Namun apakah iktibar yang dapat diambil di sebalik sambutan Hari Ibu tersebut?. Sememangnya Hari Ibu tidak disambut sepertimana perayaan-perayaan mega yang lain. Ianya cukuplah sekadar menghargai segala pengorbanan seorang ibu yang telah melahirkan serta mendidik kita sehingga menjadi seorang ‘manusia’.

Aku sebenarnya tidak ingat bilakah hari ibu disambut setiap tahun. Mujurlah semasa makan di Café Ruqayyah bersama-sama rakan sebilikku, tiba-tiba ada iklan tentang Hari Ibu diwar-warkan dalam tv. Rupa-rupanya Hari Ibu akan disambut pada keesokan harinya. Setibanya aku di bilik, aku terus menelefon emakku di rumah untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu. Untuk memberikan hadiah yang bernilai aku tidak mampu melaksanakannya. Namun aku harap dengan ucapan Hari Ibu yang aku ucapkan adalah lebih berharga daripada segala-galanya..

Beberapa hari kemudian aku membuka website Iluvislam. Jarang2 aku membuka website ini, tetapi tiba2 hatiku tergerak untuk membaca artikel yang terkandung di dalamnya.. Sememangnya setiap artikel2 di dalam Iluvislam mempunyai mesej yang tersendiri untuk disampaikan. Tiba2 mataku teertumpu pada satu artikel ini yang bertajuk Untukmu Ibu, artikel ini dihantar oleh nurpalestina, (Editor: ar-ruhul JADEED). Tanpa kusedari air mataku mengalir di pipi kerana artikel tersebut benar2 menyentuh hati dan perasaanku.. Di sini kuingin berkongsi bersama isi kandungan artikel tersebut.. Sama-samalah kita menghayati artikel ini..

“Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.

“ Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?” Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. “Ada” jawab Along pendek “Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…atau….” Along menggeleng-gelengkan kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. “Ala, gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.

Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi. “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.

Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana, tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang. “Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”, soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu. “Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..UNTUKMU IBU!’ Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. “Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu.

Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.



Read More...

Monday, June 1, 2009

GENERASI BEBAS JENAYAH

Bagi memenuhi pengisian cuti pada hujung minggu baru2 ni, aku telah dipelawa seorang kawan, Fazril untuk turut serta dalam satu program yang diadakan di Kem Rekreasi Dusun Saujana, Bt. 12 Gombak.. Bukan join sebagai peserta, tapi aku terpaksa membantunya menjadi FASILITATOR dalam program tersebut. Boleh ke aku jadi fasi?? Dengan pengalaman yang tidak seberapa dan memandangkan aku pun free, so dengan hati yang terbuka aku bersama-sama Fairul dan Azimah pun terimalah pelawaannya itu..

Khemah Kerja: Generasi Bebas Jenayah (29-31 Mei 2009).. Program ni merupakan anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) WP Kuala Lumpur, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur, dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan. Kami bertiga bertolak agak awal dari UIA, tapi memandangkan ada sedikit masalah dalam perjalanan, maka kami tiba di kem agak lewat, kira2 pukul 12.30 tengah hari. Sebenarnya kem tersebut tidak la begitu jauh dari UIA, kalau drive sendiri lebih kurang 20 minit boleh sampai.

REGISTRATION..

Memandangkan kami tiba agak lewat dan peserta2 ramai yang dah sampai, jadi kami terus makan dan bersiap2 untuk ke masjid untuk solat Jumaat. Rupa2nya jumlah peserta yang dapat hadir tidak seperti dirancang. Budget peserta dalam lingkungan 80-90 orang, tapi yang dapat join cuma separuh (40 orang lebih je). Ok la jugak, tak la penat sangat ajk2 dan fasi2 nak kawal nanti.. hehe.. Peserta kem ini terdiri daripada pelajar2 sekolah menengah dan beberapa orang pelajar IPT, dan kebanyakannya terdiri daripada anak2 pegawai polis. Banyak jugak pengalaman dan ilmu2 baru yang aku dapat sepanjang program tersebut berlangsung.

Makanan kat sini tak payah risau.. boleh tahan la masakan sepanjang kem ni..


CERAMAH: ‘HUKUMAN DAN PEMULIHAN’

Yang ni ceramah pertama yang diadakan selepas solat Jumaat yang disampaikan oleh seorang pegawai penjara bertajuk, ‘Hukuman dan Pemulihan’. Ceramah ni lebih berkonsepkan peranan seorang hamba kepada Pencipta dan peranan seorang anak kepada keluarga. Hamba yang patuh dan taat kepada seruhan agama dan menghormati kedua ibu bapa tidak akan terdorong untuk melakukan sebarang bentuk jenayah.

Para belia haruslah bermuhasabah diri kerana sejak akhir2 ini jenayah penyalahgunaan dadah semakin berleluasa, malah lebih 70% banduan di Negara ini terlibat dengan jenayah ini. Pelajar2 sekolah juga sudah ramai yang terbabas daripada landasan sebenar mereka sebagai seorang pelajar. Mengapa?? Jawapannya terjawab apabila lebih 1% daripada 7juta pelajar Malaysia terbabit dengan kes2 jenayah. Faktor utama yang mendorong mereka melakukan salahlaku jenayah adalah faktor salah pilih ‘peer group’.

Selain ibu bapa dan guru, kawan juga memainkan peranan penting dalam proses pembentukan sikap seseorang. Jadi, moralnya, pilihlah kawan yang sesuai dan dapat menolong kita di waktu senang dan susah.. dan yang paling aku terkejut apabila pegawai penjara tersebut memberitahu kelajuan hayunan rotan dalam satu2 sebatan adalah selaju 460 km/saat dan kekuatan hentakannya adalah seberat 60-70 kg.. jadi, sesiapa yang nak mencuba dipersilakan melakukan jenayah yg berat sehingga bleh dijatuhi hukuman sebat!!


LAWATAN KE RUMAH SAHABAT DAN INSAN MALAYSIA, BUKIT BERUNTUNG

Selepas habis ceramah, kami menuju ke RUMAH SAHABAT DAN INSAN MALAYSIA, BUKiT BERUNTUNG. Perjalanan mengambil masa labih kurang sejam (naik bas.. bukan jalan kaki..). Kepenatan kami terubat apabila sampai di rumah pengasih tersebut. Walaupun kebanyakan mereka pernah melakukan pelbagai kesalahan seperti mencuri, merompak, minum minuman keras dan sebagainya, namun setelah menerima didikan di rumah tersebut, Alhamdulillah sikap mereka bertambah baik dari semasa ke semasa.. terdapat juga segelintir daripada mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup cemerlang pada awalnya, tapi disebabkan terpengaruh dengan sikap2 negatif rakan2, akhirnya mereka terjebak juga dalam kes2 berat seperti yang disebutkan tadi. Jadi, adakah kita terselamat daripada melakukan sebarang perbuatan jenayah?? Tepuk dada, tanyalah iman.. jika diikutkan selera maka sesatlah jalan..

Sesi beramah mesra bersama penghuni rumah tersebut..


MALAM BERSAMA BRO. APAI

Ni pulak Abang Apai, kalau dia dah mula bercakap memang susah nak stop. Tapi setiap kata2nya tu sangat bersemangat dan para peserta tak kering gusi mendengar celotehnya. Bak kata abang Apai, “hidup mesti rock!!!”. Tapi kalau nak rock tu mestilah bertempat ok.. !!!


SENAMROBIK

Hari berikutnya pulak dimulai dengan kuliyah Subuh yang disampaikan oleh Abg Apai. Kemudian kami terus berkumpul di padang untuk senamrobik. Sessi ini diketuai oleh abang Hafiz, (bukan Hafizullah tau, tapi abang yang pakai baju merah kat bawah ni.. hehe..). Bukan setakat senamrobik yang kami telah lakukan, malah tarian POCO2, LOMPAT BINTANG, senaman AYAM BELANDA, senaman PERUT, dan macam2 lagi la senaman yang x termaktub dalam kamus bahasa..


Abang Hafiz @ Ustaz Hafiz yang sebenar…


Senaman mengempiskan perut..


~~Fly without wings~~


Fasi2 pun kena la join jugak..


CERAMAH: MOTIVASI DAN PEMBANGUNAN DIRI (ROLE MODEL)

Selesai sahaja senamrobik dan sarapan pagi, minda pula perlu diisi. Ceramah seterusnya disampaikan oleh Saudara Sohaimi Saadan, Timbalan Pengerusi GPMS WPKL, merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Ceramah beliau berkisarkan tentang peranan kita sebagai seorang pemimpin. Konsep diri kita sebagai ‘ROLE-MODEL’ harus ditekankan, dan kita mestilah menjadi ikutan kepada orang lain. Untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya, kita mestilah MASTERY dalam semua perkara dan ALWAYS THINK OUT OF CIRCLE.. Dengan ciri2 tersebut disulami dengan hubungan yang baik dengan Pencipta dan seluruh manusia serta makhluk di atas muka bumi ini, InsyaAllah kita semua bakal menjadi pemimpin yang berjaya pada masa hadapan, bukan sekadar di dunia, malah di akhirat kelak.. Ameen..


DADAH: KESALAHAN DAN PERUNDANGAN

Seepas minum pagi, ceramah seterusnya pula berkaitan dengan penyalahgunaan dadah yang telah disampaikan oleh C/Ins. Mohd Fadzir Othman, Bhgn Penguatkuasaan dan Seliaan Am, JSJN IPK Kuala Lumpur. Di sini banyak diterangkan jenis2 dadah, cara2 penjenayah membawa masuk dadah ke dalam Negara, hukuman yang dijatuhkan, dan banyak lagi.


Peserta juga berpeluang melihat pameran jenis2 dadah dan sebagainya.. macam2 ada..


JUNGLE TRACKING – “ALA EXPLORACE”

Mungkin inilah aktiviti yang ditunggu2 oleh peserta kerana selepas sahaja tamat explorace, para peserta dibawa ke AIR TERJUN.. bermacam2 gelagat dapat dilihat sepanjang aktiviti ini berlangsung.

Peserta terpaksa bergolek2 kat lumpur sebelum menerima arahan seterusnya.. ala, bukan selalu pon buat camni.. tapi awas! Jangan tiru aksi ini di rumah.. nanti mak marah. Hehe..


Kemudian peserta2 diberi minum air.. almaklum la, panas terik, mestilah dahaga kan.. tapi bukan air biasa tau.. haaa, yang hitam tu air KICAP, yang merah pulak air SIRAP+GARAM dan yang jernih tu AIR GULA.. Hahaha… ada yang tak tahan sampai termuntahmuntah selepas minum air tu..


Check point seterusnya ialah menyelesaikan masalah matematik.. sorry, calculator isn't provided.. haaha


Yang ni pulak gerakan2 mencari mangsa yang lemas.. oppss, bukan la.. diorang sedang mencari harta karun, batu mutiara kot.. Bestnye diorang mandi dalam ‘swimming pool’… hehe


Selesai sahaja explorace, maka bermulalah perjalanan ke air terjun.. em, lupa la nama tempat tu..


Macam2 bentuk perjalanan terpaksa kami tempuhi.. Terowang pon ada beb..


Aku asyik tangkap gambar orang je.. orang lain takde pulak nak tangkap gambar aku.. Dapat tangkap gambar kaki sendiri pon ok la.. huhu


Hutan bakau rela kami tempuhi.. We are the leaders for the ummah!!


Akhirnya kepenatan kami terubat apabila melihat keindahan air terjun ciptaan Ilahi.. Subhanallah..


Seronoknya adik2 mandi.. em, tangkap gambar berlatarbelakangkan orang tengah mandi pon ok la.. haha..


Yang ni pengalaman yang best jugak.. solat di tengah2 hutan.. pengalaman pertama solat di tengah2 hutan ni..


MALAM MUHASABAH DIRI

Pada malam ni macam biasa la, mesti ada babak2 sedih punye.. kalau happy selalu pun tak best jugak kan.. masa ni abang Hafiz menceritakan perjalanan hidupnya yang susah dan sebagainya. Disusuli pula dengan pertunjukan multimedia dan lagu2 yang menyentuh perasaan kita sebagai seorang anak.. Ibu bapa banyak berkorban untuk anak2 mereka walaupun di hadapan anak2 raut wajah mereka tidak pernah memperlihatkan kesusahan. Namun di belakang anak2 tiada siapa yang menjangka bahawa mereka banyak menanggung kesusahan ketika membesarkan kita..


JANGAN TIRU AKSI INI DI RUMAH..!!

Ini merupakan aktiviti terakhir pada hari ke-2 kem ini berlangsung.. Jangan tiru aksi ini di rumah..!! inilah tajuk yang diberi untuk aktiviti berkumpulan ini. Peserta2 dibahagikan kepada 5 kumpulan, dan setiap kumpulan dibimbing oleh seorang fasi.

Peserta2 setiap kumpulan dikehendaki berlakon dengan 5 perwatakan yang berbeza seperti gembira, sedih, lembut, lambat dan marah. Kumpulan aku mendapat perwatakan lambat dan berjaya mendapat tempat ke-2 dalam persembahan tersebut. Kumpulan yang berjaya mendapat tempat pertama ialah kumpulan sedih..

Gambar di atas merupakan para hakim yang arif lagi bijaksana yang telah ditugaskan untuk mengadili persembahan lakonan setiap kumpulan tersebut.


HARI PERPISAHAN…

Aktiviti gotong royong dan ‘flying fox’ merupakan aktiviti terakhir kami di sini. Aku tak dapat join aktiviti flying fox sebab ditugaskan untuk menyediakan multimedia presentation untuk setiap aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program itu berlangsung.

Aktiviti gotong-royong dijalankan di sekitar kawasan Kem Rekreasi Dusun Saujana.

Flying fox

Akhir sekali, program Generasi Bebas Jenayah diakhiri dengan ucapan perasmian penutup dan penyampaian hadiah. Semoga dengan adanya program2 seperti ini diharapkan gejala sosial dan kes2 jenayah di Negara ini akan berkurangan dari semasa ke semasa. insyaAllah..

Read More...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...