“Salam, maaf mengganggu. Dimaklumkan kakak kepada xxxxxxx telah meninggal pagi tadi. Dia dijumpai mati di tempat letak kereta xxxxxxx. Doakan semoga pembunuhnya dapat dicari dan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. Al-Fatihah buat beliau… Wassalam.”
Ketika saya sedang asyik membaca artikel tentang Gagasan Satu Malaysia malam tadi, tiba-tiba saya menerima satu mesej daripada seorang sahabat mengatakan kakak kepada kawannya telah kembali ke Rahmatullah. Berdasarkan mesej tersebut, saya dapat simpulkan bahawa punca kematian tersebut adalah disebabkan pembunuhan. Persoalannya di sini, mengapa kejadian seumpama ini masih lagi berlaku sedangkan negara kita diklasifikasikan sebagai sebuah negara yang aman? Adakah si pembunuh telah menemui jalan buntu dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah adalah dengan cara sedemikian? Saya dapat member jaminan 100% bahawa hati dan perasaan pembunuh tersebut kini sedang dilanda kegusaran dan tidak akan tenang selagi dia tidak menyesal dan mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukannya. Sedangkan Botak Chin yang merupakan penjenayah ‘hebat’ dan ‘kebal’ suatu ketika dulu pun longlai dan lemah tidak bermaya serta terpaksa diseret oleh pegawai penjara untuk ke tali gantung. Inikan pula kita sebagai ‘orang biasa’ yang melakukan kesalahan besar sebegitu. Sudah tentu tahap kegusaran dan ketakutan kita melepasai tahap yang dicapai oleh ‘orang kebal’ tersebut.
Berbalik kepada tajuk yang saya bawa pada kali ini, iaitu ‘hidup sementara, mati tiba-tiba’, sebenarnya saya ingin kaitkan dengan mesej yang saya terima tersebut. Sejauh mana amal kebaikan yang telah kita taburkan di atas muka bumi selama kita hidup di dunia ini? Bagi diri saya yang masih terombang-ambing dalam usaha mencari erti sebuah kehidupan yang sebenar ini, saya dapat merasakan diri ini masih lagi kosong dengan amal-amal kebaikan. Jadi, adakah kita telah bersedia dengan segala kelengkapan untuk menemuai-Nya kelak? Memanglah kebanyakan orang termasuklah saya sendiri apabila ditanya soal mati, jawapan yang dilontarkan kebanyakannya berbunyi, “tunggulah, aku masih muda, masih banyak masa untuk aku melakukan kebaikan”, serta banyak lagi jawapan-jawapan lain yang tidak sepatutnya kita berikan. Saya sendiri sering terfikir bahawa hidup serta kesenangan yang dikecapi kini hanyalah bersifat sementara belaka dan kematian itu akan tiba bila-bila masa tanpa diketahui oleh sesiapa. Apabila ajal tiba, segala harta benda, kesenangan di dunia dan sebagainya sudah tidak bererti lagi. Tiga bekalan yang akan dibawa ‘ke sana’hanyalah amal kebaikan, anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kita di sana, serta sedekah jariah. Jadi, konsep serta amalan ‘tunggulah’ atau melengah-lengahkan perbuatan baik perlulah dijauhi walaupun saya sendiri sering mengamalkannya. Jadi selepas ini setidak-tidaknya di dalam hati kita terdetik sebutir keinsafan yang lahir dari hati yang ikhlas untuk berubah dari semasa ke semasa. Mungkin dengan cara bermuhasabah diri dan sentiasa berfikiran jauh ke hadapan, hati dan diri kita akan terarah serta terdidik untuk melakukan kebaikan sebagai secebis bekalan untuk bertemu dengan-Nya kelak. Ameen..
Sama-samalah kita berfikir dan merenung jauh ke hadapan serta ‘selamat beramal’.. :-)
0 comments:
Post a Comment