Artikel Asli: http://ipanrock.blogspot.com/2011/03/cara-membuat-judul-blog-bergerak.html#ixzz1IezVg4BJ

My Followers

Wednesday, August 10, 2011

DI SEBALIK TIRAI RAMADHAN




Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita diberikan kesempatan sekali lagi untuk bertemu dengan bulan yang penuh barakah dan rahmat ini. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bulan Ramadhan ini benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat kelak. Ada juga yang mengatakan bulan ini juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Secara tidak langsung, bulan ini merupakan rahmat yang sangat besar bagi orang-orang yang sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah akan menunaikan kewajipannya untuk berpuasa dan beribadah dengan penuh semangat dan keghairahan.

Puasa merupakan rukun Islam ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat fardu lima waktu sehari semalam, dan ianya wajib diamalkan oleh setiap umat Islam sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah:183). Kewajipan ini merupakan amanah yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam bagi mengukuhkan semangat perpaduan sesama muslim sekaligus menguatkan kekuatan spiritual setiap individu. Nabi Muhammad SAW juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan di mana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Orang Islam yang istiqamah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Istilah ‘bergembira ketika berbuka puasa’ adalah benar kerana kita telah melaksanakan perintah-Nya dengan bersabar menahan lapar dan perkara-perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari serta menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Sepanjang bulan ini, umat Islam akan berlumba-lumba menuju keredhan-Nya dengan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan sunat di samping memperkukuh amalan-amalan wajib. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”

Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "Puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Kesemua ganjaran-ganjaran yang dijanjikan-Nya ini merupakan balasan atas ketaatan hamba-hamba-Nya kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat dan istiqamah walaupun pada hakikatnya sukar untuk kita berhadapan dengan kelaparan ini. Inilah yang dikatakan hikmah dan fadhilat yang terkandung di bulan yang mulia ini. Setiap penjelasan yang telah dihuraikan di atas bukanlah merangkumi kesemua faedah-faedah yang terkandung di bulan Ramdhan dan puasa, tetapi banyak lagi yang boleh dihuraikan dan diambil iktibar bersempena bulan yang mulia ini.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mamakmurkan bulan Ramadhan ini dengan melihat sejarah-sejarah terdahulu yang pada suatu ketika, ketibaan Ramadhan sinonim dengan kegemilangan umat. Ramadhan mencatat kemenangan di medan Badar dan pembebasan Kota Makkah. Ramadhan juga mengiringi ketibaan Islam di bumi Andalus. Malah Ramadhan juga telah mewarnai kejayaan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman Tentera Salib. Demikianlah Ramadhan dan kejayaan silam yang pada akhirnya membawa kepada kegemilangan umat Islam itu sendiri. Semoga bulan yang mulia ini dapat mendidik diri dan rohani kita semua supaya lebih dekat kepada-Nya dan secarra tidak langsung memartabatkan agama Islam yang suci murni ini.


(10 Ramadhan 1432H)
Share/Bookmark

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...