Artikel Asli: http://ipanrock.blogspot.com/2011/03/cara-membuat-judul-blog-bergerak.html#ixzz1IezVg4BJ

My Followers

Wednesday, April 13, 2011

Pemuda Kini Vs. Muhammad al-Fateh

“Pemuda Teras Kekuatan Bangsa”. Ternyata usia bukanlah aspek utama untuk dilantik menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah organisasi ataupun negara, seterusnya memajukan sesebuah bangsa. Kali ini, saya ingin berkongsikan sebuah cerita mengenai seorang pemuda dan pemimpin yang barangkali sudah tidak wujud dewasa kini. Kira-kira genap 558 tahun yang lalu, seorang pemimpin muda bernama Muhammad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad al-Fateh telah diangkat namanya sehingga kini disebabkan kejayaannya menakluk Konstantinopel (Istanbul). Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Konstantinopel akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad).

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Adrianapolis yang terletak di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) adalah seorang yang soleh, handal dalam perang dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad menjadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi. Ciri-ciri kepimpinan dan keperibadian yang unggul terserlah sejak dari kecil lagi dengan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasawuf, psikologi dan lain-lain. Tambahan pula, dengan kebolehannya mangusai 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin, dan Serbia, cukup menggambarkan kebolehannya yang luar biasa.

Ketika Muhammad masih dalam buaian,Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinopel tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian. Lihatlah betapa hebatnya Muhammad al-Fateh hinggakan ‘aura’ kepimpinannya yang luar biasa telah dapat dijangkakan sejak dari kecil lagi. Kepimpinannya semakin terserlah ketika baru berusia 12 tahun dengan memangku jawatan sebagai pemerintah kerajaan Islam iaitu pada tahun 1444. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad menjalankan urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah beliau menjawat jawatan khalifah secara rasmi iaitu Khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.

Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah: “Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya sebagai khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.” Dengan kata-kata ini, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa perjuangan tidak ada penghujungnya. Sepanjang hidupnya, Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri kempen ketenteraan sebanyak 25 kali. Walaupun beliau merupakan ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun beliau seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan bahawa ketika tentera Islam membina ‘Benteng Rumeli Hisari’, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan sehingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja.

Ketika Sultan Muhammad al-Fateh berusia 21 tahun, bersama-sama tenteranya seramai lebih kurang 150,000 orang telah tiba di konstantinopel pada tanggal 19 April 1453. Walaupun dengan strategi yang sangat teratur, dan persediaan yang sangat rapi, selama 48 hari mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam, namun Konstantinopel masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong. Namun, apabila tentera-tentera Islam solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, ianya memberikan kesan yang besar terhadap semangat tentera musuh.

Pada suatu malam, suatu keajaiban telah berlaku. Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa serta di luar jangkaan musuh. Keesokan harinya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku. Sesudah berlalu 53 hari, Konstantinopel masih tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan nekad beliau berkata: “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”
Ucapan tersebut benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate beserta 30 orang pejuang Islam menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu menaikkan lagi semangat tentera Islam. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinopel berjaya ditakluki oleh tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya gugur syahid akibat terkena anak panah musuh yang bertali arus. Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel akhirnya jatuh ke tangan Islam. Sultan Muhammad dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya, lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah beliau diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya menakluk Konstantinopel.

Sultan Muhammad kemudiannya menukar nama Konstantinopel kepada ‘Islambol’ yang bermaksud ‘Islam Keseluruhannya’ (Nama Islambol kemudiannya diubah pula kepada ‘Istanbul’ oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk laknatullah). Sultan Muhammad juga menukar Gereja Besar St. Sophies kepada sebuah masjid yang diberi nama ‘Aya Sofia’ (Sekarang telah dijadikan muzium). Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya. Selepas berjaya menakluki Konstantinopel, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam?

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Selepas berjaya menakluki Konstantinopel, sampailah ketikanya untuk tentera Islam mengerjakan solat Jumaat yang pertama kalinya di sana. Timbul satu masalah, siapakah yang akan bertugas sebagai imam?

Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya: “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu setelah baligh, sila duduk.” Tidak ada seorang pun dalam ribuan perajurit itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fardhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.” Sebahagian daripada tenteranya duduk. “Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.” Semua tenteranya duduk, kecuali Sultan Muhammad sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud sejak akil baligh!

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcayırı, Gebze. Ada pendapat mengatakan dia meninggal kerana menderita penyakit ghout. Ada pula yang mengatakan dia diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa. Ada orang mengaitkan putera Sultan Muhammad sendiri dalam hal ini. Akhir kalam, marilah kita sama-sama muhasabah diri dan bertanyakan kepada diri kita sendiri, apakah sumbangan dan pengorbanan yang telah kita berikan pada usia muda ini. Di manakah tempat-tempat yang sering dikunjungi ketika usia muda. Adakah di pusat-pusat hiburan dan membeli-belah? Atau masa kita dihabiskan begitu sahaja dengan berpeleseren di bandar-bandar bersama rakan-rakan? Tepuk dada, tanyalah iman. Hal ini kerana, untuk mencapai kemajuan sesebuah negara dan bangsa, maka lihatlah pemuda-pemudi di sekelilingnya. Jika baik golongan pemudanya, maka baiklah masa depan negara dan bangsanya, dan begitu jugalah sebaliknya. Oleh itu, membina generasi berilmu yang bermula dari kecil adalah satu kewajiban agar sesebuah negara dan bangsa akan menjadi maju dan membangun pesat dalam pelbagai aspek kehidupan.


Share/Bookmark

1 comments:

Anonymous said...

salah seorang pemuda yg boleh di jadikan role model. terima kasih atas entry anda yg bermanfaat ini :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...